Lafaz Penyerahan Anak Dari Seorang Ibu

Lafaz Penyerahan Anak Dari Seorang Ibu

Alhamdulillah. Berakhir sudah majlis pernikahan dan persandingan adik perempuan saya dengan jayanya. Berlaku juga di dalamnya lafaz penyerahan anak oleh ibu kepada orang lain. Kini tanggungjawab untuk menjaganya beralih daripada Abah kepada suaminya. Semoga mereka berdua tabah mengharungi kehidupan berkeluarga.

Abah dah menjalankan tugasnya sebagai seorang wali dengan menikahkan anak perempuannya dengan tangannya sendiri. Kini tugas¬† untuk membaca lafaz penyerahan anak yang ditatang bagai minyak yang penuh selama ini diserahkan pada mak. Sedikit sentimental, Abah tak sanggup nak membaca lafaz penyerahan. Takut “hujan” katanya. Dengan kesihatan dirinya yang kurang memuaskan, kami faham apa perasaan Abah pada masa tu.

Anakku,

Sedari kecil Ibu dan Ayah menimangmu, mendodoikanmu dengan segala doa kebaikan dengan penuh rasa kasih sayang. Namun, apabila tiba masanya, hari ini kamu akan berpindah dari naungan Ibu dan Ayah ke suatu alam baru di bawah naungan suamimu. Ibu dan Ayah selama ini telah memberikan tunjuk ajar serta didikan agar kamu menjadi anak yang solehah.

Selepas daripada ini berikanlah khidmat dan ketaatanmu dengan jujur dan ikhlas kepada suamimu. Jagalah budi pekerti dan tingkah lakumu terhadapnya. Jagalah maruah diri dan keluargamu. Ibu dan Ayah amat berterima kasih di atas segalanya. Maafkanlah Ibu dan Ayahmu ini sekiranya terdapat kesilapan semasa mendidikmu.

Salam Sayang.

Dengan bacaan lafaz penyerahan ini, maka berakhirlah hak penjagaan Ibu dan Ayah ke atas anak perempuannya. Ayat yang sangat ringkas tetapi mempunyai nilai sentimental yang amat tinggi. Segala tanggungjawab kini akan dipikul oleh suaminya. Kami doakan semoga mereka berdua kekal bahagia hingga ke akhir hayat. In-Sha-Allah.

Kalau nak dihitung jasa Mak dan Abah membesarkan kami dari kecil hingga dewasa, memang takkan terbalas hingga ke mati. Berulang-alik menghantar kami ke sekolah. Bekerja siang dan malam mencari duit. Kini tiba giliran kami untuk membahagiakan mereka semampu mungkin.  In-Sha-Allah kami akan berikan yang terbaik untuk menjaga mereka hingga ke-akhir hayat. Aamiin.