Jom Ubah . Tingkatkan Taraf Ekonomi

Jom Ubah. Tingkatkan Taraf Ekonomi !

JOHOR BAHRU, 24 Jan – Umat Islam diseru meningkatkan ekonomi ummah kerana kekuatan ekonomi merupakan salah satu elemen yang sangat penting bagi masa depan umat Islam khususnya orang-orang Melayu di negara kita. Tingkatkan Taraf Ekonomi Ummah.

Tingkatkan Taraf Ekonomi

Demikian menurut Ketua Biro Tarbiyah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Johor, Ustaz Wan Azli Wan Ahmad semasa Program Cuti Semester bersama aktivis ISMA Johor di sini, baru-baru ini.

“Kekuatan ekonomi umat Islam akan memberi kesan kepada kestabilan politik dan masa depan umat Islam khususnya orang-orang Melayu. Pelbagai projek boleh diusahakan bagi meningkatkan taraf ekonomi ummah seperti membuka kilang dan sebagainya,” ujarnya yang merupakan ahli perniagaan.

Tambahnya, meningkatkan taraf ekonomi merupakan suatu keperluan dan menjadi fardhu kifayah bagi umat Islam.

Pada masa yang sama, Ustaz Wan Azli turut mengingatkan tentang tujuan penciptaan manusia dan amanah yang harus digalas oleh setiap individu Muslim.

“Kita perlu mempunyai tasawur (gambaran) yang jelas mengapa kita diciptakan. Tugas kita di dunia ini tidak lain dan tidak bukan ialah sebagai hamba Allah dan juga sebagai khalifah yang memakmurkan muka bumi ini dengan Islam.

“Bagi melaksanakan tujuan tersebut, aspek peningkatan diri seperti akhlak, pelajaran, pekerjaan, kesihatan dan sebagainya perlu dititikberatkan,” katanya yang juga  pensyarah di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

Mengakhiri sesi pertemuan tersebut, Ustaz Wan Azli berpesan supaya segala amal yang dilakukan hendaklah semata-mata kerana Allah SWT agar ianya dihitung sebagai ibadah dan mendapat ganjaran pahala.

Program Cuti Semester yang berlangsung selama tiga hari ini menyediakan platform yang baik untuk aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Johor mempelajari kaedah berdakwah dengan lebih berkesan.

Selain itu juga pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan antaranya street dakwah, speaker corner, memanah, ziarah rumah anak-anak yatim, bengkel rekagrafik, ceramah  dan sebagainya.

Muhammad Nabil Fikri Yahaya  (Wartawan ISMAweb)

Sumber : Ismaweb

” Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d, Ayat 11)