Shaklee Offer

Didik Anak Tentang Keagungan Solat

Didik Anak Tentang Keagungan Solat

Kadang-kala pening juga nak didik anak tentang kepentingan mengambil wudhuk dengan sempurna, kepentingan tertib di dalam solat. Pendekatan secara psikologi sememangnya berkesan untuk anak-anak kami berbanding pendekatan secara “command and conquer”.

Almaklumlah, kami sendiri bukan dari golongan alim ulama. Banyak lagi yang perlu dipelajari. Sejarah-sejarah islam, hadis-hadis yang simple  memang kena sentiasa berada dalam kepala bila nak terangkan kat anak-anak.

Semoga Allah membantu kami untuk mendidik anak-anak kami supaya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Didik Anak

Antara bacaan-bacaan yang boleh saya kongsikan:

Bacaan 1

Anas r.a. meriwayatkan bahwa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Apabila seseorang bersolat pada waktu yang telah ditetapkan dengan wuduk yang sempurna dengan rasa penuh hina dan tawaduk dan dengan qiam, rukuk dan sujud dilakukan dengan memuaskan, maka solat yang sedemikian itu akan naik dengan rupa yang bercahaya dan indah serta akan mendoakan orang itu dengan kata-kata,

“Semoga Allah SWT peliharamu sebagaimana kamu telah memeliharaku.”

Sebaliknya pula, kalau seseroang tidak teliti menjaga solatnya dan dia tidak mengambil wuduk dengan sempurna dan qiam,rukuk serta sujudnya tidak dilakukan dengan tertibnya,maka solatnya naik dengan rupa yang gelap lagi buruk dan ia akan mengutuk orang itu dengan kata-kata,

“Semoga Allah SWT membinasakanmu sebagaimana kamu membinasakanku.”

Lalu dilemparkan sembahyang itu kemuka  orang itu seumpama kain buruk dilempar.

 

Beruntunglah orang yang solatnya serba sempurna sehingga solat itu dapat mendoakan untuknya.Tetapi bagaimana pula dengan orang yang tidak mahu menunaikan solat dan yang menunaikannya pula tidak pula dengan sempurna? Mereka sujud terus dengan tidak sempurna?

Mereka sujud terus dari rukuk dan tidak sempat pun hendak mengangkat kepalanya dari sujud pertama lalu sujud bagi kali kedua seumpama gagak mematuk sesuatu.

Apabila solat sudah mengutuk, apakah lagi yang dapat dibuat untuk mencegah kita daripada jatuh ke lembah kemerosotan? Inilah sebabnya keadaan orang Islam kini sedang merosot sehari demi sehari di merata ceruk dan pelosok dunia.

Gambaran serupa diberikan dalam sebuah hadis lagi dengan ditambah bahawa solat yang dikerjakan oleh seseorang dengan ikhlas dan khusyuk, naik dengan cemerlang, pintu syurga terbuka untuk menyambutnya dan kemudian ia menjadi pembela (di hadapan Allah SWT ) orang yang bersolat itu.

Sumber: Demimasa2

Didik Anak
Bacaan 2

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur 7 tahun, dan pukullah mereka kerana tidak solat ketika berumur 10 tahun, dan pisahkanlah tempat-tempat tidur mereka” ( H.R. Ahmad & Abu Daud )

Imam Nawawi mengatakan, orang yang tidak diberatkan mendirikan solat, tidaklah diperintahkan kita menyuruh mereka mengerjakannya, kecuali anak-anak kecil – lelaki dan perempuan.

Anak yang telah sampai umur 7 tahun jika mumayyiz, disuruh atas dasar sunnat mendirikan solat. Jika mereka telah berumur 10 tahun,wajiblah diperintahkan mereka mendirikan solat. Dan dipukul jika mereka enggan mendirikannya.

Hadith ini mengingatkan kita kepada firman Allah :

“Dan perintahkanlah ahli keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu diatas kesukaran-kesukaran yang kamu hadapi kerananya..” ( Toha : 132 )

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka..” ( At-Tahrim : 66 )

Kata pengikut-pengikut Asy-Syafie : Hendaklah para wali ( ibu bapa atau penjaga ) memerintahkan anak-anak menghadiri jamaah solat dan menerangkan kepada mereka hukum-hukum agama yang harus merekakerjakan sebagaimana wajib atas wali memberi pendidikan kepada anak-anak tentang aurat, arak, dusta, mengumpat dan sebagainya.

Kata Ar-Rafi’ie : Diberatkan ibubapa memberikan pendidikan bersuci, solat dan undang-undang syariat kepada anak-anaknya ketika mereka berumur 7 tahun dan memukul mereka jika mereka enggan menuruti jika umur mereka telah mencapai 10 tahun. Belanja belajar diambil dari harta si anak jika dia berharta, dan dipikul pula oleh bapanya jika si anak tidak berharta.

Jika ia tidak berbapa, maka belanja itu dipikul oleh ibunya. Jika si anak tidak mempunyai wali, kewajiban tersebut dilaksanakan oleh yang berwajib di dalam negara. Contohnya qadhi atau seumpamanya. Anak-anak kecil memanglah tidak diberatkan dengan sesuatu perintah agama baik berdasarkan wajib atau sunnat.

Hadith di atas sebenarnya ditujukan kepada para wali. Tujuannya untuk membiasakan anak-anak mendirikan solat sejak sebelum mukallafnya lagi. Apabila telah dibiasakan sejak kecil, tidaklah menjadi berat baginya untuk melakukannya sesudah ia besar.

Sumber: siraplimau.com