Bahaya GBS Kepada Bayi Dalam Kandungan

Bahaya GBS Kepada Bayi Dalam Kandungan | Tahukah anda tentang bahaya bakteria GBS atau Group B Streptococcus kepada bayi dalam kandungan sekiranya tidak dirawat awal sebelum proses kelahiran ?

Adakah anda pernah dengar tentang GBS ? KakTie baru tahu tentang GBS ni tahun lepas selepas salah seorang rakan Shaklee diuji Allah, bayi lelaki yang baru dilahirkan meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan GBS inilah. Al-fatihah untuk anak syurga beliau.

Bahaya rupanya GBS ni kalau tidak dirawat awal. Hari ni KakTie nak kongsi dengan anda semua terutamanya kaum wanita yang sedang hamil. Artikel ini dipetik dari laman Facebook Dr. Erna Nadia. Semoga dapat memberi informasi berguna buat kita semua.

Apakah sebenarnya GBS ?

GBS adalah Group B Streptococcus iaitu sejenis bakteria yang hidup di dalam usus, faraj dan rectum kita. Ianya boleh datang dan pergi secara alami/natural tanpa perlu antibiotik.

Jika seseorang dijangkiti GBS ianya digelar GBS carrier. Biasanya tiada simptom yang boleh didapati. Ianya tidak berjangkit kepada orang yang terdekat dan bersentuhan dengan kita.
Ianya bukanlah penyakit kelamin (sexual transmitted disease).

Tetapi, GBS boleh membahayakan bayi yang dikandung jika tidak dirawat dengan betul.

[Q1] Perlukah setiap perempuan mengandung buat pemeriksaan GBS?

Adalah disarankan untuk melakukan pemeriksaan ini semasa usia kandungan 35-37 minggu.

Pemeriksaan dilakukan dengan cara calitan faraj/rektum ( vaginal/rectal swab). Ianya tidak menyakitkan dan tidak memudaratkan kandungan.

[Q2] Adakah berbahaya jika keputusan pemeriksaan positif?

Insha Allah tidak. Jika positif, bermaksud badan anda mempunyai bakteria ini. Ianya bukanlah bermakna anda kotor. Ianya bukan penyakit kelamin dan tidak berjangkit melalui udara, makanan, air, sentuhan dan hubungan kelamin.

[Q3] Perlukah saya makan antibiotik jika keputusan adalah positif?

Tidak perlu. Antibiotik secara oral hanya akan menghilangkan bakteria itu secara sekejap sahaja kerana bakteria ini boleh berulang kembali dengan cepat.

[Q4] Jadi,apakah rawatan untuk orang yang positif GBS?

Antibiotik secara suntikan vena ( intravenous) akan diberikan kepada si ibu sewaktu ingin bersalin jika terdapat tanda tanda seperti di bawah.

Ibu mengandung tolong alert sekiranya anda alami tanda-tanda seperti berikut, sila segera ke hospital.

  1. Anda menunjukkan tanda untuk bersalin awal (sebelum minggu ke-37 kehamilan)
  2. Air ketuban pecah 18 jam atau lebih sebelum bayi dilahirkan
  3. Suhu badan anda naik (38 ͦC / 100 ͦF atau pun lebih) ketika proses kelahiran
  4. Anda pernah mempunyai bayi yang dijangkiti GBS sebelum ini
  5. Anda didapati membawa GBS di faraj anda dan/atau dubur semasa anda hamil
  6. GBS dikesan pada air kencing ketika hamil (ia haruslah dirawat apabila didiagnos, namun walaupun anda telah dirawat, perhatian yang lebih masih perlu diberi semasa proses kelahiran )

Bukan semua bayi akan mendapat GBS jika ibunya adalah pembawa GBS. Dalam 200, hanya 1 bayi yang mungkin dijangkiti GBS. Jika anda bukan berisiko tinggi, bayi anda tidak mudah dijangkiti GBS.

Jika anda berisiko tinggi, rawatan intravena antibiotik akan diberikan dan bayi akan dipantau rapi selepas kelahiran.

[Q5] Apakah tanda-tanda bayi dijangkiti GBS?

  • Bayi lemah
  • Bernafas laju
  • Berbunyi pelik sewaktu bernafas
  • Suhu badan yang luar biasa tinggi atau REN dah
  • Merengek
  • Kurang minum susu
  • Degupan jantung laju atau lemah
  • Kadar pernafasan laju atau lemah
  • Tekanan darah rendah
  • Paras gula dalam darah rendah

Jika ada tanda-tanda seperti di atas dan ibu adalah GBS carrier, jangan gusar. Doktor bayi akan memberikan rawatan sewajarnya kepada bayi anda.

Sebab itu, jika air ketuban pecah, terus ke hospital.

Jangan tunggu dan bertanya di group-group FB. Nanti dapat petua merapu ,yang merana itu anda dan anak anda.

[Q6] Perlukah saya lakukan kelahiran secara C-section jika saya adalah GBS carrier?

Tidak perlu jika tiada indikasi untuk C-section. Jika C-section dilakukan dan air ketuban anda belum pecah, tidak perlu antibiotik. Tetapi anda boleh berbincang dengan doktor yang merawat anda sepanjang kehamilan tentang plan anda.

[Q7] Adakah saya perlu buat pemeriksaan sekali lagi untuk kandungan seterusnya?

Digalakkan.

[Q8] Adakah saya boleh menyusu badan?

Boleh dan sangat digalakkan. GBS tidak berjangkit melalui susu badan. Malah, susu badan adalah antibodi terbaik yang Allah kurniakan kepada kita.

Pesanan Dr. Erna,

Sebab tu bahayanya home birth kerana kita taktau status kesihatan kita. Seeloknya, datanglah ke hospital. Kita ada dua nyawa yang nak dijaga.

Tidak ada istilah doktor lelaki rogol atau gomol pesakit yang nak beranak. Untuk pengetahuan anda, doktor tak kira lelaki atau perempuan akan berasa alert dan berhati- hati sahaja jika ibu nak beranak sebab risau kalau ada komplikasi terjadi.

Bukan senang hoiii maternal and below 5 years old mortality meeting. Yang dok tuduh pelik pelik ni mungkin imaginasi dia ‘biru-kuning ‘ sangat. Tepuk dada, tanya iman. ✌️

Ingat ya, jika ada sebarang kemusykilan, datang klinik atau hospital dan bertanya pada doktor yang bertauliah bukan pada group group FB atau Twitter yang acah-acah tahu segalanya.

Nota kaki : Tidak tahu, tanya. Insha Allah tak keliru dan dapat ilmu.

*Credit info : FB Dr.Erna Nadia