Shaklee Offer

Ajarkan Anak Anda Kalendar Hijrah

Ajarkan Anak Anda Kalendar Hijrah

Kalendar Hijrah adalah kalendar Islam adalah Kalendar Lunar yang digunakan di kebanyakan negara Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam. Kalendar ini berdasarkan bulan dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun. Dalam takwim Hijrah, ada 12 bulan iaitu;

Kalendar Hijrah
  1. Muharam, 
  2. Safar, 
  3. Rabiulawal, 
  4. Rabiulakhir, 
  5. Jamadilawal, 
  6. Jamadilakhir, 
  7. Rejab, 
  8. Syaaban, 
  9. Ramadan, 
  10. Syawal, 
  11. Zulkaedah,
  12. Zulhijah.

Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap. Secara tradisinya, hari pertama setiap
bulan akan bermula selepas anak bulan (hilal) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilal tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan itu, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka, hari itu dikira sebagai hari yang ke-30.

Orang Arab menganggap permulaan hari ialah selepas jatuh matahari dan berterusan sehingga jatuh matahari berikutnya, oleh itu malam mendahului siang. Pada zaman sekarang, menurut orang Eropah, hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya.

Tahukah anda sejak bila kalendar hijrah ini digunakan?

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil daripada ilham Khulafa Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Sayyidina Umar Al-Khattab r.a (Radiallahu Anhu). Ini adalah turutan daripada Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya. Dikatakan bahawa orang yang mula-mula menamakan bulan-bulan ini ialah Kab ibn Murrah, datuk kelima Rasullullah SAW.

Khalifah Umar mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam. Dalam perbincangan itu, pendapat ‘Ali ibn Abi Talib diterima dengan mengemukakan cadangan supaya menjadikan Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah sebagai PERMULAAN tahun Islam. Mereka juga bersetuju dengan pandangan Uthman menjadikan Muharam sebagai bulan pertama dalam sejarah Islam.

Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-Asya’ari telah mengirimkan surat kepada Sayyidina Umar r.a. minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a.) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Parsi, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah SAW untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / takwim Islam.

Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil daripada pilihan Umar itu.

Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis dibebaskan daripada Empayar Rom dan Masjid Al-Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Parsi dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Takwim Islam yang rasmi.

Sumber : pmr.penerangan.gov.my, Wikipedia