Shaklee Offer

5 Tips Untuk Anak Lebih Sihat Dan Lawas

5 Tips Untuk Anak Lebih Sihat Dan Lawas

Artikel ni dapat membantu ibubapa yang mempunyai anak yang sering sembelit. 5 tips ini boleh membantu ibubapa untuk lebih memahami sistem penghadaman kanak-kanak dan keperluan anak-anak Untuk Anak Lebih Sihat Dan Lawas.

Anak Lebih Sihat Dan Lawas

Ambil langkah-langkah berikut untuk memastikan kesihatan penghadaman anak anda lebih sihat:

  1. Lakukan lebih senaman
  2. Kekalkan diet yang sihat
  3. Minum air secukupnya
  4. Ambil pro- dan prebiotik secukupnya
  5. Hadkan pengambilan lemak, garam, dan gula

5 Tips Untuk Anak Lebih Sihat Dan Lawas

1) Lakukan lebih senaman

Hadkan aktiviti sedentari anak anda seperti bermain komputer atau menonton TV. Sebaliknya, galakkan dia menggerakkan tubuh dan darahnya. Pastikan dia melakukan sekurang-kurangnya 60 minit senaman berintensiti sederhana setiap hari seperti berjalan pantas, berlari, berlari-lari anak (jogging), senaman aerobik, yoga, futsal, atau badminton.

Dia tidak perlu melakukannya sekaligus dalam masa 60 minit! Sebagai contoh, dia boleh berjalan pantas 15 minit di sebelah pagi, kemudian di sebelah petang pula bermain badmintion untuk 45 minit selebihnya. Aktiviti fizikal dan senaman akan membantu dia mengekalkan berat badan sihat.

Sebarang senaman yang meningkatkan kadar pernafasan dan denyutan jantung adalah baik untuk penghadamannya, kerana ia membantu merangsang otot usus, yang akan membantu makanan untuk bergerak dengan lebih berkesan dalam ususnya.

Walau bagaimanapun, anak anda dinasihatkan untuk tidak melakukan senaman berat sejurus selepas makan. Memandangkan proses penghadaman memerlukan pengaliran darah ke perut dan usus, bersenam sejurus selepas makan akan menyebabkan darahnya dialirkan ke jantung.

Ini akan membuat otot ususnya bergerak dengan lembab, kurang menghasilkan enzim penghadaman, dan keseluruhan proses penghadaman menjadi lambat yang akan menyebabkan sakit ulu hati, kembung dan juga sembelit.

2) Kekalkan diet yang sihat

Amalkan prinsip seimbang, kesederhanaan, dan kepelbagaian – ini bermaksud anak anda harus mengambil diet yang seimbang yang terdiri daripada makanan daripada kesemua lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia.

Dia juga disarankan untuk makan saiz sajian yang sederhana (mengikut jumlah sajian yang disarankan bagi setiap kumpulan makanan)dan  mengamalkan diet yang mengandungi pelbagai makanan yang memenuhi kesemua keperluan pemakanannya.

Pastikan diet anak anda kaya dengan makanan tinggi serat kerana ia merangsang aktiviti saluran usus, lantas mencegah sembelit dan mengurangkan simptom gangguan penghadaman seperti buasir dan sindrom usus rengsa. Beberapa sumber serat diet yang baik ialah bijirin penuh, kekacang, sayuran, serta buah-buahan.

Galakkan anak anda makan secara perlahan – proses penghadaman bermula di dalam mulut, oleh itu pastikan anak anda mengunyah makanannya dengan sempurna. Air liurnya mengandungi enzim yang membantu menghadam makanan dan proses mengunyah menyediakan tubuhnya untuk menerima makanan. Makan dengan perlahan juga dapat mengelakkan anak anda daripada menelan udara – ini boleh  menyebabkan anak anda sendawa atau kembung perut.

Pastikan anak anda makan pada waktu yang tetap dan elak daripada makan secara berlebihan. Tubuh menghasilkan sejumlah enzim tertentu. Hidangan yang berat tidak dapat dihadam dengan sempurna dan boleh membebankan sistem penghadaman. Dengan jadual yang tetap, organ-organ penghadaman anak anda mempunyai masa untuk berehat di antara waktu makan.

3) Minum banyak air

Air kosong tidak mengandungi kalori, oleh itu anak anda harus minum air kosong berbanding minuman lain seperti minuman berkarbonat atau jus buah yang diproses! Secara purata, kanak-kanak berumur

  • 3-6 tahun harus minum 4-5 gelas (1L-1.3L) sehari,
  • 7-12 tahun harus minum 6-9 gelas (1.6L-2.2L) sehari,
  • 13-18 tahun harus minum 9-11 gelas (2.2L-2.8L) sehari

Lebih banyak air diperlukan pada hari panas atau etika anak anda melakukan aktiviti fizikal yang berat (seperti, pada hari sukan, mengambil bahagian dalam larian atau walkaton, dll) untuk menggantikan cecair yang hilang melalui peluh.

Pengambilan air yang mencukupi dapat mengekalkan kesihatan penghadamannya dengan memudahkan najis bergerak melalui usus. Namun, jangan minum berlebihan kerana ini boleh menyebabkan hiponatremia (kemabukan air), satu keadaan di mana paras elektrolit dalam darah menjadi cair dan berbahaya.

4) Ambil pro- dan prebiotik secukupnya

Usus anak anda dipenuhi dengan bakteria, dan imbangan diantara bakteria baik dan bakteria berbahaya adalah penting. Salah satu cara untuk anda memastikan imbangan ini adalah dengan mengambil makanan yang kaya dengan probiotik (iaitu bakteria baik) dan prebiotik (iaitu ‘makanan’ bagi bakteria baik).

Probiotik boleh didapati dalam makanan seperti yogurt, minuman susu berkultur, keju, dan tempeh. Prebiotik terdapat dalam makanan seperti bijirin penuh, mil oat, pisang, kekacang, bawang merah, bawang putih, dan madu.

5) Hadkan pengambilan lemak, garam, dan gula

Anda harus memastikan anak anda menghadkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak, garam, atau gula seperti kentang goreng, keropok, kek, pastri, minuman berkarbonat, dan jus buah yang diproses. Tubuh anak anda tidak memerlukannya tambahan lagi, makanan tersebut mengandungi ramuan lain seperti pengawet dan pewarna makanan.

Apabila anda masak di rumah, gunakan cara memasak yang lebih sihat yang kurang penggunaan minyak seperti mengukus, merebus, membakar dalam ketuhar, atau menumis. Guna rempah ratus untuk menambah perisa kepada makanan anak anda berbanding menggunakan garam atau gula. Anda harus juga memberi anak anda daging yang kurang lemak seperti ayam atau potongan daging tanpa lemak.

Pelbagai masalah penghadaman mungkin boleh terjadi dalam jangka masa pendek (ketakcernaan, cirit birit, dll) dan juga jangka masa panjang (malnutrisi, penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, dll), oleh itu berhati-hati agar tidak mengabaikan kesihatan penghadaman anak anda.

Ingat, kesihatan penghadaman yang baik dapat menjamin kesejahteraan dan keceriaan anak anda!

Sumber: Pengasuhan Positif

Semoga ‘Tips Untuk Anak Lebih Sihat Dan Lawas’ yang saya sharekan sedikit sebanyak memberi manfaat untuk anda sebagai ibu bapa.